Tuesday 12 July 2011

ADAB NIAT

Niat mempunyai peranan penting dalam segala kegiatan dan amalan agama. Ini kerana nilaian Allah terhadap semua amal perbuatan itu bergantung pada niat pelakunya.

Firman Allah bermaksud: "Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya , lagi tetap teguh di atas tauhid, dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, dan yang demikian itulah agama yang benar."  (Surah al-Bayyinah :5)

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat dan sesungguhnya bagi tiap-tiap seseorang itu apa yang diniatkan."

Niat yang baik itu adalah dianggap suatu amal soleh dan mendapat pahala serta ganjaran daripada Allah.

Sesiapa yang berniat dengan niat yang baik, maka dia akan mendapat pahala dan ganjaran yang baik. Sesiapa yang berniat buruk, maka dia akan diberi balasan dosa dan balasan yang setimpal dengan dosanya.

Islam menentukan bahawa niat itu sebagai rukun dan syarat dalam apa jua ibadah dan amalan dan bukan hanya diucapkan atau dilafazkan.